Perkembangan dan Populariti Naruto

Perkembangan dan populariti siri ini boleh disamakan dengan populariti yang dicapai oleh satu lagi siri popular bergenre aksi seperti siri Dragon Ball hasil karya Akira Toriyama yang muncul dalam majalah mingguan Shōnen Jump di Jepun. Sejak kemunculannya, banyak laman-laman web peminat tumbuh bagaikan cendawan selepas hujan yang mana kebanyakan laman-laman web ini mengandungi dan memberikan samada informasi terperinci, panduan dan juga forum-forum yang berkaitan dengan siri tersebut. Sesetengah daripada laman web popular yang terawal, mensasarkan kepada para penggemar berbahasa Inggeris dan ini berlaku sejurus sahaja kemunculan pertama manga edisi bahasa Inggeris diterbitkan pada Ogos 2003. Seperti mana kebanyakkan siri manga yang lain, siri ini turut juga mengakibatkan kemunculan koleksi kad permainannya yang tersendiri.

Sejajar dengan kemunculan tayangan perdana siri animasi ini di Amerika Utara pada tahun 2005, beberapa laman web peminat telah melakukan penterjemahan ke dalam bahasa Inggeris (bahasa asal adalah bahasa Jepun) dan memberikan kelebihan untuk memuat turun fail-fail tersebut secara percuma di internet. Walaupun sesetengah pihak menganggap perkara ini sebagai sesuatu yang salah, namun oleh kerana permintaan terlampau tinggi daripada peminat-paminat membuatkan proses menterjemah siri ini dari bahasa Jepun ke bahasa Inggeris diteruskan. Siri ini mendapat sambutan hangat oleh peminat-peminatnya di serata dunia. Contohnya, isu 7 siri ini telah memenangi Quill Award untuk grafik terbaik di dalam sesebuah novel di Amerika Utara. Manakala dalam rangkaian televisyen TV Asahi Corporation di Jepun telah menyenaraikan siri animasi Naruto di tangga ke-17 di dalam carta/ranking 100 animasi terbaik mereka. Di Malaysia, terjemahan dan bahan-bahan dari siri ini boleh didapati dengan mudah.